Kisah Hidup
Kisah Viral
Jangan 'buat hal' ya...
Untuk Info Penuh Klik Pada Iklan Ini

JANGAN terkejut jika gambar anda ‘buat hal’ tular kerana Rapid KL sudah mula memuat naik gambar di Facebook dan Twitter tindakan negatif penumpang yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan LRT, MRT, Monorel dan basnya.
Jurucakap Rapid KL berkata, tindakan itu dibuat bertujuan mendidik orang ramai supaya menggunakan pengangkutan Rapid KL dengan berhemah.
“Tiada niat untuk memalukan sesiapa sebaliknya mahu mendidik orang ramai selain mahu mesej kami sampai kepada mereka.
“Kami mendapati pendekatan terbaru ini memberi kesan terbaik apabila turut menerima maklum balas positif daripada orang ramai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pihaknya sebelum ini sering menerima laporan tindakan segelintir penumpang yang membuat perkara tidak sewajarnya termasuk membuang sampah makanan dan minuman serta bergantung kepada besi di bahagian tali pemegang seolah-olah sedang melakukan senaman dan sebagainya.
“Pihak kami terkilan apabila menerima laporan seperti ini kerana perkara ini pastinya akan membahayakan keselamatan penumpang dan menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan penumpang lain.
“Sekali lagi perlu ditegaskan, kami bukan mahu memalukan mereka sebaliknya mahu mendidik supaya perkara seperti ini tidak lagi berulang...sebab itu kami kaburkan wajah mereka ketika muat naik beberapa gambar di laman sosial,” katanya.
Katanya, pendekatan seumpama itu adalah pertama kali diambil Rapid KL bagi mengingatkan orang ramai terutama pengguna perkhidmatan berkenaan supaya tidak mengulangi perbuatan sama.
“Pengangkutan ini adalah untuk semua dan Rapid KL bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan semua pihak selain tidak mahu menyusahkan pengguna lain.
“Kami mohon kerjasama semua pihak menjaga harta benda awam ini untuk kebaikan semua pihak," katanya.
Katanya, pihaknya akan melancarkan perkhidmatan WhatsApp untuk orang ramai berkongsi pengalaman termasuk menghantar gambar dan video kepada Rapid KL dalam masa terdekat ini.
“Perkhidmatan WhatsApp bagi memudahkan orang ramai menyalur maklumat positif mahu pun negatif kepada kami.
“Kami juga mahu mengingatkan orang ramai supaya memberi teguran secara baik kepada mana-mana pengguna yang membuat perkara tidak sepatutnya.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya menggunakan perkhidmatan pengangkutan rel dengan berhemah termasuk jangan berdiri di depan pintu kerana ia akan menganggu pergerakan orang lain serta tidak membuat bising,” katanya.
Sumber : MyMetro

